Thursday, July 21, 2011
at
7/21/2011 03:31:00 PM
|
بسم الله الرحمن الرحيم
Menderhaka kepada kedua ibubapa adalah termasuk dalam larangan yang haram di dalam Al-Quran.
Firman ALLAH S.W.T. di dalam Surah Al-Isra’ ayat 23 hingga 24,
“Dan Tuhanmu (ALLAH) telah memerintahkan hendaklah kamu jangan menyembah selain dari Dia (ALLAH), dan hendaklah kepada kedua orang ibu-bapa berbuat baik dengan sempurna. Jikalau salah seorang dari ibu-bapamu atau keduanya sudah sampai kepada umur tua, janganlah sekali-kali kamu berkata, ‘Ah!’ kepada mereka. Dan jangan (pula) kamu menengking mereka. Dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang sopan (dan hormat).”.
“Dan berbaktilah kepada keduanya dengan perasaan kasih sayang (yang mendalam) dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku (ALLAH) ! Kasihanilah keduanya (ibubapaku) sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu kecil.”.
Keterangan Ayat 23 dan 24 Surah Al-Isra’
ALLAH menyuruh kamu, supaya menyembah kepadaNYA (ALLAH) dan berbuat kebajikan kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya telah sangat tua, janganlah diucapkan perkataan yang kasar kepada mereka, dan janganlah kamu herdik kedua-duanya dengan perkataan yang tidak sopan, melainkan hendaklah bercakap dengan perkataan yang lemah lembut. Rendahkanlah sayap kehinaan (berhina dirilah) kepada mereka, sebagai tanda cinta. Patut sekali kamu doakan mereka kepada ALLAH : “Ya ALLAH, Ampunilah aku dan kedua-dua orang ibubapaku dan kasihanilah mereka, sebagaimana mereka telah mengasuhku waktu kecilku !”.
“Rendahkanlah sayap kehinaan (berhina dirilah) kepada mereka, sebagai tanda cinta.”. Maksud ayat ini bukanlah bererti kita sembah kepada mereka TETAPI sayanglah mereka dengan sayang yang sebenar-benarnya di samping mengharapkan keredhaan ALLAH S.W.T.. Itulah ! maksud sebenarnya.
Dan INGATLAH ! Jika ibubapa kita tidak meredhai dan mereka murka kepada kita terhadap kederhakaan yang kita lakukan kepada mereka, maka, yang menunggu kita adalah kemurkaan ALLAH dan kita tidak akan diredhai oleh ALLAH S.W.T. kerana kederhakaan kita terhadap mereka dan ini bertepatan dengan hadis Nabi S.A.W..
Sumber ‘Abdullah Bin ‘Amr r.’anhuma memberitakan Rasulullah S.A.W. bersabda,
رضا الرب في رضا الوالد، وسخط الرب في سخط الوالد
Ertinya :
“Keredhaan Tuhan (ALLAH) menurut keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Tuhan (ALLAH) menurut kemurkaan ibu bapa.”.
(HR. At-Tirmidzi : Sahih)
Pengajaran Hadis :
1. Agama Islam mengajak umatnya memperoleh dua keredhaan yang paling besar dalam hidup ini, iaitu keredhaan ALLAH dan keredhaan ibu bapa.
2. ALLAH menciptakan kita manusia menerusi perkahwinan antara ibu dan bapa. Kemudian Dia (ALLAH) menyuruh kita mencari keredhaan-NYA (ALLAH) dan keredhaan kedua ibu bapa secara serentak dan selari, di mana tidaklah diperoleh keredhaan ALLAH tanpa keredhaan ibu bapa dalam perkara kebaikan, bukan dalam perkara maksiat [RUJUK DI SINI].
3. Siapa memurkakan kedua ibu bapa, maka dia bukan sahaja mendapat kemurkaan ibu bapa (berdosa besar), tetapi juga mendapat kemurkaan ALLAH dan Rasul-NYA (NYA merujuk kepada ALLAH).
Jadi, telah jelas bahawa menderhaka kepada ibu bapa adalah perkara yang haram dan akhlaq yang tidak baik serta berdosa besar, maka, hendaklah kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita sepertimana perintah ALLAH S.W.T. dalam Surah Luqman ayat 14,
“Dan Kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua ibubapanya.”.
Akhir kalam, ana ingin ucapkan terima kasih kepada antum semua kerana meluangkan masa membaca penulisan ana yang lemah ini. Ana berdo’a kepada ALLAH agar ana dan antum semua diberi hidayahNYA dan keampunanNYA. Amin Ya RABBAL ’ALAMIIN.
والله سبحان و تعلى أعلى و أعلم بصواب
_________________________________________________________________________
_________________________________________________________________________
HIJAU = Kitab Tafsir Al-Quranul Kariim 30 juz Prof.Dr.Hj.Mahmud Yunus (hlm. 596,597,613 dan 879)
BIRU = kitab “Pepatah Sabda Nabi S.A.W.” karangan ‘Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh (‘A.Q.H.A.S) [hlm. 76 dan 77].
PUTIH = © AL-ANKABUT.
© AL-ANKABUT
Posted by
Mujahid Islam Al-Bahruni
Labels:
TAZKIRAH
0 comments:
Post a Comment